Pages

Monday, 9 March 2015

STRESS DI KALANGAN GURU




ADAKAH KITA TERGOLONG ?

Stress, seperti yang diterangkan sebelum ini boleh berlaku kepada semua guru, sama ada guru sekolah rendah, menengah atau peringkat pengajian tinggi. Punca stress di kalangan guru boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu punca profesional dan punca peribadi.

Punca profesional
1. Persekitaran kerja
Persekitaran kerja yang kurang kondusif boleh menjadi punca berlakunya stres di kalangan guru.  Misalnya ruang kerja yang sempit dan kelas yang tidak selesa boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada guru. Ditambah dengan kemudahan sekolah yang tidak mencukupi untuk keperluan sendiri dan pelajar serta pelbagai
 isu pendidikan dalam negara.

2. Perubahan
Perubahan peningkatan populasi dalam masyarakat, peningkatan taraf hidup dan jenayah yang memberikan impak negatif dalam tingkah laku pelajar menyebabkan seseorang guru itu harus melakukan perubahan dalam kehidupan profesional dan peribadinya. Perubahan boleh menyebabkan terganggunya sistem keseimbangan dalam diri seseorang individu itu. Contohnya, banyak perubahan telah berlaku dalam mobiliti masyarakat Amerika Syarikat pada hari ini. Antaranya, penambahan golongan etnik dalam pendidikan. Pelajar dari golongan etnik ini kerang fasih atau tidak tahu langsung berbahasa Inggeris. Oleh itu, hal ini memberikan tekanan kepada guru Bahasa Inggeris untuk memenuhi kurikulum pendidikan.

Punca peribadi

1. Kesihatan – Keadaan kesihatan guru yang terjejas akibat kemalangan atau berlaku kematian dalam kalangan keluarga.

2. Perhubungan – Oleh sebab banyak perubahan dalam masyarakat pada hari ini, misalnya peningkatan kadar jenayah, guru memerlukan sokongan dan hubungan yang baik dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Apabila berlaku perselisihan faham maka ini boleh menyebabkan stress terhadap guru tersebut.

3. Kewangan – Gaji yang rendah berbanding dengan profesion yang lain membataskan aktiviti riadah dan taraf hidup seseorang guru.

4. Taraf hidup – Gaji yang rendah menyebabkan sukar untuk guru menikmati dan memberikan taraf hidup yang baik bagi keluarga mereka. Di samping itu, memiliki rumah sendiri juga sukar terutamanya bagi guru yang baru mengajar.

5. Aktiviti riadah – Gaji yang rendah membataskan pilihan guru melakukan aktiviti riadah bersama keluarga (Gold Yvonne dan A. Roth Robert, 1993).


Cara Mengendalikan Stress di kalangan Guru
Stress dalam kalangan guru dapat dikendalikan dengan strategi berikut:

1. Kenal pasti reaksi emosional
Apabila keperluan emosi dapat dikenal pasti maka seseorang guru boleh menangani stress dengan cara yang lebih positif. Contoh situasi, seorang guru perempuan tidak bersefahaman dengan pengetua di sekolahnya. Guru tersebut telah menangani stress dengan cara yang negatif, iaitu menengking pengetua itu. Setelah guru tersebut mengetahui keperluan emosi dalam dirinya, guru tersebut sedar bahawa tindakannya adalah kerana suatu masa dahulu ayahnya telah menggunakan pendekatan yang sama oleh pengetua itu, iaitu lagak bapa yang menghukum anaknya. Guru tersebut sedar bahawa dia inginkan pengetua itu menghargai beliau. Guru tersebut telah berhadapan dengan pengetua dan memberitahu perasaannya itu. Akhirnya, hubungan mereka berjaya dipulihkan.

2. Komitmen sosial
Apabila berhadapan dengan stress, guru memerlukan sokongan daripada orang-orang di sekelilingnya. Oleh itu, komitmen sosial amatlah penting.

3. Kehidupan fizikal
Stress menjejaskan kesihatan dari segi imunisasi tubuh. Oleh itu, seseorang guru harus tahu teknik yang berkesan untuk menangani stress terutamanya menjelang peperiksaan pelajar dan pertukaran pentadbiran di sekolah. Pengetahuan dalam senaman rutin dan pelan makanan seimbang boleh membantu guru menangani stress.

4. Intelek
Guru hendaklah bergaul dengan golongan yang memiliki tahap intelek yang serupa dengan mereka kerana aspek intelek boleh membantu guru menangani stress (Gold Yvonne dan A. Roth Robert, 1993).
Stress jika dibiarkan, boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik. Justeru adalah penting untuk mengubah diri individu untuk menangani stress dengan cara yang terbaik. Kenal pasti punca yang menyebabkan masalah tersebut dan ubah. Dengan mengetahui punca stress tersebut, individu bukan hanya meringankan masalah kini malah menghindarkan berulangnya masalah serupa pada masa akan datang. Contohnya, jika seseorang guru kecewa dengan perbalahan dengan pelajarnya, guru tersebut mungkin menyedari bahawa punca kekecewaannya itu bukan disebabkan oleh tingkah laku pelajar tetapi harapan yang tidak realistik guru berkenaan. Dengan mengubah standard yang ingin dicapai, guru tersebut akan mendapati bahawa tingkah laku pelajar tidak lagi mengganggunya

0 comments:

Post a Comment