Pages

Sunday, 22 February 2015

EDU 3093 GURU DAN CABARAN SEMASA


EDU 3093 GURU DAN CABARAN SEMASA

1.0 PENGENALAN

Sejak zaman 1970-an lagi, sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami pembaharuan dalam aspek kurikulum. Dalam hal ini, gurulah yang bertindak sebagai agen perubahan untuk menjana transformasi pendidikan negara demi melahirkan modal insan yang mampu berdaya saing untuk membangunkan Negara selaras dengan misi Wawasan 2020 yang dibawa oleh mantan Perdana Menteri Keempat iaitu Tun Dr  Mahathir Bin Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara perindustrian yang maju menjelang tahun 2020.
Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) mula dilaksanakan sejak negara mencapai kemerdekaan. Bertitik tolak daripada pelaksanaan KLSR tersebut, sistem pendidikan negara sering mengalami perubahan mengikut situasi semasa. Antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan ialah dengan memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989.
 Namun begitu, KBSR telah disemak semula pada tahun 2003 kerana dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Manakala, terbaharu KBSR (semakan) telah digubal semula menjadi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) selaras dengan teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Pembaharuan kurikulum yang dilakukan ini boleh dikatakan sebagai satu inovasi kurikulum yang utama atau reformasi yang menyeluruh.
Sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat serta perubahan dan cabaran alaf ke-21, sistem Pendidikan Kebangsaan sentiasa diperkemas dan dibuat penambahbaikan dari masa ke masa. Proses yang dinamik dan berterusan dilaksanakan dalam pembangunan kurikulum ini bermatlamat untuk memperkukuhkan sistem pendidikan kebangsaan bagi memupuk perpaduan sosial, kebudayaan dan politik, menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih bersistematik dan selesa kepada para pelajar, meningkatkan taraf pendidikan di seluruh negara serta melaksanakan pendemokrasian pendidikan tanpa mengira bangsa, kaum mahu pun agama.

1.0   KONSEP
2.1  Konsep Transformasi

Definisi transformasi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) membawa maksud  perubahan bentuk seperti sifat, rupa dan keadaan atau dengan erti kata lain transformasi merupakan satu perubahan daripada keadaan sedia ada kepada satu dimensi lain bertujuan untuk mengubah bentuk sesuatu kepada yang lebih baik bagi meningkatkan kualiti dan pencapaian (Artikel Pendidikan: Utusan Malaysia). Ringkasnya, transformasi juga lebih mudah difahami sebagai satu bentuk perubahan ke arah kebaikan.
Terdapat pelbagai pendapat yang dikemukakan oleh tokoh yang berkait rapat dengan istilah transformasi atau perubahan. Istilah perubahan menurut Stoner (1989) di dalam Aini Hayati Mohamed (2001) mentakrifkan perubahan sebagai proses transformasi yang berlaku kepada organisasi sama ada dirancang ataupun tidak. Manakala menurut Jaafar Muhammad (1999) perubahan diperkenalkan hasil daripada pengubahsuaian kelakuan yang lepas menyesuaikan dengan situasi baru.
            Antara pendapat lain berkenaan transformasi ialah sebagaimana yang dikemukakan oleh Mumtaz Began dan rakan-rakan (2002) yang melihat perubahan sebagai suatu bentuk peralihan daripada satu dimensi yang dapat diramalkan kepada dimensi yang lebih baik atau lebih sesuai dengan persekitaran sesuatu masyarakat. Perubahan yang berlaku ini juga mungkin merangkumi pelbagai aspek penting.

2.2  Konsep Kurikulum

Kurikulum pada dasarnya berasal daripada perkataan curere yang merupakan perkataan latin yang membawa maksud jejak atau laluan. Selain itu, kurikulum dalam bahasa inggeris memberi maksud jelmaan. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mentakrifkan kurikulum sebagai skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di sekolah, senarai kesemua mata pelajaran (kursus pengajian) di sekolah dan institusi pendidikan.
            Terdapat pelbagai definisi terhadap istilah kurikulum yang dinyatakan oleh pakar-pakar dan pengkaji. Sesetengah pengkaji berpendapat kurikulum merupakan satu pengalaman. Menurut Neagly dan Evans dalam Kamaruddin Hj. Husin dan rakan-rakan (2004) kurikulum ialah semua pengalaman yang dirancang dan dikemukakan oleh pihak sekolah yang bertujuan untuk membimbing murid memperoleh hasil pembelajaran yang telah ditetapkan mengikut keupayaan masing-masing.
Menurut pendapat Ishak Ramly (2003), kurikulum merangkumi semua pengalaman yang didapati di dalam dan di luar sekolah dan perkara yang diajarkan di sekolah dan bilik darjah. Beliau turut mengelaskan kurikulum kepada tiga bahagian iaitu kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan di sekolah, kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan secara praktikal di dalam kelas serta kurikulum adalah pengisian sepanjang hayat bagi membudayakan ilmu dan pengalaman individu ataupun berkumpulan.
Kurikulum juga turut dinyatakan sebagai pelajaran yang formal dan pelajaran yang tidak formal oleh Hargreaves dalam Hansen et al. (2002). Pelajaran formal merangkumi kurikulum yang telah ditetapkan matlamat serta rancangan oleh kementerian, kurikulum yang dilaksanakan (berkaitan dengan cara bagaimana guru menterjemahkan kurikulum yang dihasratkan kepada amalan, aktiviti dan susunan) dan kurikulum yang tercapai atau yang diterima, yakni apa yang pelajar sebenarnya capai melalui pengalaman pendidikan. Manakala pelajaran yang tidak formal merujuk kepada kurikulum terpendam yakni pendidikan secara tidak langsung yang berlaku apabila belajar mengenai kuasa, pujian dan manusia.
Rumusannya, tafsiran kurikulum merangkumi skop yang sangat luas berdasarkan kepelbagaian definisi yang telah dinyatakan. Kurikulum merangkumi kesemua aspek pengalaman pembelajaran yang diperolehi oleh murid secara formal atau tidak formal dan memberi kesan terhadap perkembangan jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek setiap murid.

2.0   ISU DAN CABARAN UTAMA DALAM MEREALISASIKAN TRANSFORMASI KURIKULUM PERSEKOLAHAN
Transformasi dalam bidang kurikulum persekolahan sering menjadi polemik dan diberi perhatian khusus oleh pentadbir pendidikan. Dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan sentiasa merangka, merancang dan melakukan penambahbaikan sistem pendidikan di Malaysia. Antara langkah yang diambil termasuklah memperkenalkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP,2006-2010) dan yang terkini Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Transformasi pendidikan ini bermatlamat melengkapkan setiap murid di negara ini dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut peluang dan cabaran abad ke 21 (Muhyidin 2013, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025).
            Namun begitu, proses transformasi ini bukanlah mudah kerana ianya melibatkan ramai pihak khususnya warga pendidik di sekolah yang menjadi agen transformasi bagi setiap perubahan yang dirancang oleh pihak pentadbir pendidikan. Justeru, terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dalam merealisasikan transformasi tersebut. Cabaran yang paling utama dihadapi ialah dari aspek kesediaan guru dari segi sikap dan pemikiran mereka untuk menerima dan melaksanakan transformasi dengan penuh dedikasi dan kesungguhan. Sudah pastinya terdapat segelintir guru mempunyai pemikiran dan sikap negatif terhadap transformasi ini. Hal ini sedikit sebanyak menyukarkan dasar baru ini dijalankan kerana komitmen daripada guru-guru amat penting bagi memastikan usaha-usaha ini dapat dijalankan dengan sepenuhnya. Lebih membimbangkan apabila terdapat juga percanggahan pendapat dan perdebatan daripada sesetengah guru terutamanya mereka yang telah lama berkhidmat menolak dasar ini dengan pelbagai alasan.
            Oleh yang demikian, dalam menghadapi cabaran tersebut seringkali wujudnya pelbagai isu berkaitan dengan proses transformasi yang ingin dilakukan. Isu yang timbul ini adakalanya melibatkan aspek kekangan masa, ruang, sikap guru dan sebagainya. Namun saya telah melihat isu bebanan tugas guru sebagai satu isu utama yang menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan guru di sekolah apabila mereka dibebankan atau diberikan pelbagai arahan yang perlu dilaksanakan di sekolah terutamanya dalam proses transformasi kurikulum pada hari ini. Bebanan tugas guru ibarat isu yang tiada kesudahannya. Walaupun ada segelintir pihak yang menyatakan bahawa gaji yang diperoleh oleh guru adalah lumayan, kita perlu melihat dan menilai kerja yang dilaksanakan itu adalah berbaloi atau tidak.
Sistem pendidikan Malaysia yang berpusat menyebabkan kebanyakan dasar dan perancangan digubal pada peringkat kementerian dan diturunkan ke sekolah. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, kebanyakan pentadbir atau guru tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa akur dengan dasar pendidikan yang ditetapkan. Walaupun pada hakikatnya keupayaan setiap sekolah adalah berbeza namun sistem yang digunakan ini menyebabkan semua sekolah di Malaysia perlu akur dan mengikuti satu sistem, prosedur dan pendekatan yang seragam dan tidak mengambil kira kemampuan, keupayaan khusus dan potensi untuk sekolah tersebut untuk melaksanakan dasar dan program pendidikan sendiri.
Sebagai contohnya, Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada tahun 2003  telah menjadi satu dasar yang wajib dilaksanakan di sekolah. Guru tiada pilihan melainkan datang menghadiri kursus yang dikelolakan selama tiga minggu atau terpaksa mengajar subjek lain. Akhirnya guru yang mempunyai kemahiran bertahun-tahun mengajar mata pelajaran tersebut tidak dapat melaksanakan pengajaran tersebut kerana bermasalah dengan penguasaan bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, baharu saja guru yang terlibat dalam program berkenaan berusaha meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan program  tersebut, akhirnya ia dimansuhkan dan digantikan dengan dasar Memartabat Bahasa Melayu Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI. Menurut akhbar Utusan Malaysia bertajuk Perubahan MBMMBI atau kekal PPSMI oleh Tan Sri Alimuddin (2011) menyatakan bahawa antara sebab pemansuhan PPSMI adalah kerana penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut semakin merosot jika dibandingkan semasa penggunaannya dalam bahasa Malaysia. Maka, sekali lagi guru-guru yang terlibat terpaksa pula bermula dari awal. Apa yang jelas, banyak masa guru diambil untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pelaksanaan sesuatu program berbanding masa untuk melaksanakannya.
Sebagaimana yang telah diketahui, kurikulum persekolahan mengalami perubahan bermula tahun 2011 apabila KBSR telah digantikan dengan KSSR. Kewujudan KSSR di sekolah ada baik dan buruknya. Usaha transformasi ini dinggap baik kerana melalui KSSR pihak KPM berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri,  kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai. Namun begitu, Menurut Shafizan Omar (2013) dalam artikel akhbar yang dikeluarkannya menyatakan bahawa sebahagian kumpulan guru berdepan tekanan dalam melaksanakan KSSR berikutan beban kerja yang bertambah, termasuk proses memfailkan laporan KSSR yang menurut mereka, boleh mengurangkan masa untuk mereka bersama murid.
Dalam masa yang sama, guru juga bertanggungjawab terhadap Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang disediakan oleh KPM yang berfungsi sebagai pusat pengumpul, penyimpan dan menganalisis data peperiksaaan dalaman setiap sekolah di seluruh Malaysia. Guru mata pelajaran dan guru kelas perlu mengisi markah dan data-data murid dalam peperiksaan melalui internet. Saya memetik keluhan daripada  oleh Siti Roshayu, seorang guru mengenai sistem ini. Beliau mengatakan bahawa, “sistem SAPS yang kononnya diselenggara oleh pakar IT kementerian ini ibarat meletakkan batu seberat 10 TAN di kepala kami sebagai warga pendidik”. Hal ini menunjukkan bahawa walaupun transformasi ini pada dasarnya berpotensi dalam membentuk satu sistem dalam talian yang akan memberi pelbagai impak positif kepada seluruh masyarakat. Namun dalam masa yang sama kelemahan yang terdapat dalam penyelenggaraan sistem ini menyebabkan guru menghadapi beban tugas yang amat berat di luar keupayaan mereka.

3.0  GANGGUAN EMOSI PELAJAR DAN TEKANAN EMOSI GURU
Rajah 1 : Kesan Terhadap Emosi Murid dan Guru
ISU : BEBANAN TUGAS GURU

Transformasi yang ingin dilakukan dalam bidang pendidikan secara dasarnya memberi banyak kebaikan terhadap perkembangan seluruh anggota masyarakat. Namun begitu, hakikatnya para guru terpaksa memikul lambakan tugas yang semakin bertambah. Keadaan ini memaksa guru untuk melakukan bidang tugas di luar keupayaan mereka. Dengan itu, tangggungjawab dan tugas guru yang semakin mencabar telah memberikan tekanan stres secara tidak langsung. Stres dalam kalangan guru didefinisikan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif, tekanan serta kekecewaan yang berpunca daripada aspek kerja mereka.
            Guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendididikan akan mengalami stres. Tekanan emosi yang dialami oleh guru ini sekiranya tidak dikawal akan memberikan kesan terhadap persekitaran kerja mereka. Contohnya stress dalam kalangan guru menyebabkan  potensi berlakunya masalah salah guna kuasa guru terhadap murid-murid. Terutamanya yang berlaku dalam aspek hukuman yang boleh mengakibatkan penderaan. Hal ini seterusnya memberi kesan terhadap emosi murid tersebut.
            Seterusnya, bebanan kerja yang dialami oleh guru akibat daripada perubahan dalam bidang pendidikan akan menyebabkan berlakunya burn out. Burnout ialah satu fenomena atau sindrom di mana seseorang individu akan mengalami tekanan emosi sehingga membawa kepada tahap kelesuan, perubahan personaliti dan pencapaian kendiri akan menurun dengan ketara. Dalam hal ini, seseorang guru dikatakan mudah untuk mengalami fenomena burn out apabila merasakan mereka tidak berkemampuan lagi menanggung beban emosi yang tidak stabil. Bebanan kerja yang banyak akan menyebabkan guru tidak boleh memberi tumpuan kepada sebarang tugasan kerana kebosanan kerja yang tidak mendatangkan kepuasan pada diri. Burn out bukan hanya memberi impak negatif terhadap kesihatan diri guru malahan turut menyebabkan penurunan produktiviti dan kerja guru sebagai pendidik.
Namun begitu, peningkatan beban kerja guru ini bukan hanya menyebabkan tekanan emosi dalam kalangan guru malahan turut menyebabkan gangguan emosi terhadap pelajar. Gangguan emosi merupakan gangguan yang diterima oleh seseorang pelajar yang menyebabkan emosi pelajar tersebut tidak stabil.
Antara tanda awal gangguan emosi yang dialami oleh pelajar adalah kemerosotan pencapaian akademik. Bebanan tugas yang perlu dipikul oleh guru menyebabkan prestasi guru terjejas dan pengajaran dan pembelajaran juga tidak dapat berjalan dengan sempurna. Sebagai contohnya, guru yang kadang kala terpaksa meninggalkan kelas kerana harus menyiapkan tugasan yang diberi oleh pihak sekolah  secara langsung telah menyebabkan pelajar kelasnya terabai. Lama-kelamaan jika perkara ini sering dilakukan akan menyebabkan pelajar semakin malas dan tidak bersemangat untuk belajar. Hal ini juga akan menyebabkan pelajar ketinggalan dalam pelajaran dan seterusnya menyebabkan pencapaian akademik mereka mulai merosot. Pada ketika inilah pelbagai pihak mula menuding jari dan meletakkan kesalahan terhadap kelemahan guru yang gagal untuk mendidik pelajarnya walhal hakikatnya guru terpaksa memikul pelbagai tanggungjawab sampingan yang lain.
Tanda awal gangguan emosi murid yang kedua adalah hilang daya tumpuan di dalam kelas. Murid yang mengalami gangguan emosi biasanya suka termenung, cepat marah, tidak selesa berada di dalam kelas dan sering berasa cemas. Hal ini mungkin terjadi disebabkan oleh kelakuan guru terhadap mereka. Contohnya, guru yang mengalami tekanan untuk merealisasikan matlamat sekolah bagi memenuhi transformasi pendidikan semasa berkemungkinan melepaskan tekanan tersebut kepada pelajar melalui hukuman yang tidak sewajarnya semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Tindakan sebegini bukan hanya menyebabkan pelajar tersebut membenci kelakuan guru terbabit malahan akan menjejaskan emosinya untuk belajar.
Seterusnya, tanda awal gangguan emosi yang dialami pelajar juga dikesan apabila mereka tidak hadir ke sekolah tanpa sebab. Hal ini mungkin berlaku kerana tiadanya keseronokan dan semangat untuk menuntut ilmu. Sistem persekolahan sepatutnya dapat memupuk budaya mencintai ilmu di kalangan pelajar, tetapi ini dihalang pula oleh suasana guru yang semakin kurang berinteraksi dengan pelajar. Ini kerana tugas mereka bukan hanya mengajar tetapi turut dibebani tugas lain antaranya mengurus data, fail, buku rekod dan laporan, urusan pentadbiran, urusan kurikulum dan kokurikulum serta hal ehwal murid bagi mencapai matlamat transformasi pendidikan.
Selain itu antara tanda awal lain yang menunjukkan bahawa seseorang pelajar tersebut mengalami gangguan emosi adalah apabila pelajar tersebut menunjukkan konsep kendiri yang lemah. Pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang lemah akan sentiasa berasa tidak puas hati, tidak gembira, pasif dan mempunyai keyakinan diri yang rendah. Kesan gangguan emosi yang dialami oleh murid ini mungkin lahir kerana kurangnya perhatian yang diberikan oleh guru kepadanya semasa di dalam kelas. Kesibukan guru kadang kala memaksa mereka untuk lebih memfokuskan pada sesi pengajaran  bagi menghabiskan silibus mata pelajaran. Hal ini telah mengurangkan sesi interaksi antara guru dan murid di dalam kelas.

1 comments:

Unknown said...

Terima Kasih untuk melawat blog saya.

Post a Comment